DPMM FC berjaya menumpaskan BSRC FC dengan keputusan 6 - 3 pada Liga Belia Brunei Musim 2025/2026 bagi Kategori Bawah 18 Tahun (U18) yang berlangsung petang tadi di Jerudong Park Mini Stadium, di sini.
Berangkat menyaksikan perlawanan berkenaan, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Timbalan Sultan; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman.
Juga berangkat, anakanda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, iaitu Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman.
Turut menyertai DPMM FC ialah anakanda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim selaku Ketua Pasukan.
Enam gol DPMM FC dijaringkan menerusi Muhammad Akmal Rizal Muhammad Abu Bakar pada minit ke-3 dan ke-85, Muhammad Adi Idham Sazali (minit ke-9), Mohamad Azri Danial Haji Mohd. Yusra (minit ke-37), Md. Harith Aqil Azaman (minit ke-46) dan Mohd. Darwishafis Mohd Hamzillah (minit ke-50).
Sementara itu, tiga gol bagi BSRC FC masing-masing djaringkan menerusi Faris Ar Rayyan Yahya pada minit ke-1 dalam sepakan penalti, Muhammad Asyraaf Suhaimi Abdullah Muhammad Khalid (minit ke-10) dan Muhammad Ashraf Saifullilah (minit ke-89).
Liga Belia Brunei Musim 2025/2026 U18 akan diteruskan lagi pada Ahad depan, 17 Ogos 2025 dengan menyaksikan pertemuan antara Panchor Murai FC menentang DPMM FC bermula jam 8.00 malam di Jerudong Park Mini Stadium.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto